Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
KEROSAKKAN KIBAL YANG DITULARKAN

Bandar Seri Begawan, 10hb. Syaaban 1440H/16hb. April 2019 - 

Dengan hormatnya sukacita merujuk kepada artikel yang disebarkan di laman media sosial Facebook Brunei FM pada hari Khamis bersamaan 11hb. April 2019 mengenai kejadian kerosakkan kibal elektrik berdekatan Simpang 298, Kg. Pintu Malim. 

Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE) ingin memberikan beberapa pencerahan mengenai kejadian tersebut dan maklumat yang diberikan di dalam artikel berkenaan. Pihak JPE melalui Talian Darussalam 123, telah menerima aduan pada 10hb. April 2019, jam 8.35 pagi, yang menyatakan terdapat percikan api keluar berdekatan dengan tiang elektrik di tempat kejadian. Seperti lazimnya, JPE menghantar kakitangan untuk memeriksa kejadian sebaik sahaja mendapat laporan berkenaan. Tindakan juga segera dibuat di tempat kejadian dengan memotong bekalan elektrik memandangkan ini melibatkan aspek keselamatan. 

JPE telah mendapati bahawa kejadian ini berpunca dari sikap tidak bertanggungjawab pemborong yang membuat kerja-kerja tanah berdekatan tempat kejadian, yangmana pemborong berkenaan juga telah meninggalkan lokasi setelah menyebabkan kerosakan pada kibal tersebut. Pada masa ini, JPE masih lagi menyiasat untuk mengenalpasti siapa pemborong tersebut dan tujuan kerja-kerja tanah itu dilaksanakan sehingga menyebabkan hal kerosakan ini terjadi.

JPE ingin mengingatkan bahawa di bawah Bab 7(1) Akta Elektrik Penggal 71, adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana pihak atau individu yang sengaja atau secara tidak sengaja memindahkan, memusnahkan atau merosakkan mana-mana harta kepunyaan atau di bawah pengurusan atau kawalan JPE, atau menghalang harta benda tersebut daripada digunakan atau dikendalikan mengikut cara yang sepatutnya. Denda tidak melebihi $10,000, tempoh penjara sekurang-kurangnya 3 tahun atau kedua-duanya sekali akan dikenakan kepada sipelaku, jika didapati bersalah.

Seterusnya, JPE ingin memperbetulkan beberapa fakta dalam artikel yang dihantar ke Brunei FM tersebut. Yang pertama, bekalan elektrik telah dipulihkan semula pada jam 2.42 petang. Kenyataan penulis bahawa bekalan elektrik telah terputus selama 1 hari adalah tidak tepat dan tidak berasas. Yang kedua, dakwaan penulis bahawa kibal perkhidmatan (service cable) ialah di bawah tanggungjawab JPE adalah tidak betul dan mengelirukan. Semenjak tahun 2016, pembaikpulihan atau penggantian kibal perkhidmatan telah pun diswastakan dan menjadi tanggungjawab pemilik bangunan. Bidangkuasa JPE adalah terhad kepada infrastruktur utama sahaja dan ini tidak termasuk mana-mana service cable yang membekalkan tenaga elektrik secara langsung kepada rumah atau bangunan, yang mana kibal-kibal elektrik tersebut adalah di bawah tanggungjawab pemilik rumah atau bangunan itu sendiri. Oleh yang demikian, dakwaan penulis bahawa kos pembaikan kibal perlu ditanggung oleh JPE adalah tidak tepat.

Dalam hal seperti ini, sukacita memaklumkan pada kelazimannya JPE hanya boleh membantu dengan menyediakan bekalan sementara selama dua minggu untuk kejadian kerosakan kibal perkhidmatan. Dalam tempoh dua minggu tersebut, pemilik bangunan dikehendaki untuk membaiki kerosakan kibal yang berkenaan bagi menjamin keselamatan di kawasan tersebut. JPE juga boleh menghulurkan bantuan dengan memberikan nasihat mengenai hal-hal yang berkaitan dengan teknikal kepada pemilik-pemilik rumah atau bangunan yang terlibat jika diperlukan.

Selain itu, kos $600 yang dinyatakan oleh penulis ialah hasil perundingan pemilik rumah dengan pemborong yang hadir bersama pihak JPE ketika menyiasat kejadian tersebut. JPE tidak terlibat dengan mana-mana kos yang dikenakan oleh pemborong dan ianya adalah terpulang kepada pemilik rumah sendiri untuk memilih mana-mana pemborong bersesuaian, yang menawarkan harga atau kos yang berpatutan dan sah berdaftar dengan JPE. Panduan tatacara membaiki kerosakan kibal perkhidmatan dan senarai pemborong yang berdaftar dengan JPE boleh diperolehi melalui laman sesawang www.des.gov.bn.

Dikesempatan ini, JPE sukacita menasihatkan para pengguna untuk mengamalkan penggunaan tenaga elektrik yang selamat dan berhemah, serta tidak membuat posting di media-media sosial yang boleh mengelirukan pembaca atau orang ramai.

Jabatan Perkhidmatan Elektrik

Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian

Negara Brunei Darussalam­


Attachments
Created at 4/17/2019 10:48 AM by David Anak Bujang
Last modified at 4/17/2019 10:48 AM by David Anak Bujang